UMNO telah membuat ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti ataupun pemimpin yang bersama DAP, kata
Naib Presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata keputusan itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Ahli Parlimen BN sebelum ini secara jelas telah menyatakan bahawa sokongan adalah secara en-bloc terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut memaklumkan sesiapa yang tidak akur kepada keputusan ini akan dipecat.
“Maka keputusan tersebut masih kekal melainkan mesyuarat MKT Umno membuat keputusan sebaliknya.
“Jadi, saya amat yakin tiada ahli parlimen Umno yang terlibat ataupun menyatakan sokongan kepada Anwar.
“Sekejap dia cakap ada 10 nama, lepas itu naik 15 nama, lepas ini saya rasa naik 50 nama, lebih daripada bilangan ahli parlimen Umno yang ada,” katanya kepada media di Libaran, petang tadi.
Kenyataan Ismail dilihat sedikit “bercanggah” dengan Presidennya yang mendakwa beliau tidak mampu menyekat jika Ahli Parlimen Umno ingin menyokong Anwar.
Kenyataan Zahid itu juga bertentang dengan pendirian parti gabungan PN dalam satu kenyataan yang turut ditandatangani Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa yang menegaskan BN menyokong kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Zahid dalam kenyataannya semalam berkata, beliau tidak mampu menghalang sekiranya wakil rakyat parti itu ingin bersama Anwar.
Selain mendakwa ramai yang menyatakan hasrat untuk menyokong Anwar.
Dalam pada itu, Ismail yang juga Menteri Kanan (Pertahanan) menyifatkan apa yang berlaku ketika ini sebagai permainan politik Anwar bagi memecah-belahkan sesama Umno.
“Kita jangan terperangkap dengan permainan dia. Ini semua ‘psywar’ sebab Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Saya yakin, tidak ada ahli Parlimen Umno yang mahu menyokong Anwar.
“Saya sendiri telah bercakap dengan beberapa pemimpin Umno yang dikatakan menyokong tapi semua menafikan,” – Malaysiapost

