‘Pengalaman pertama bertanding empat penjuru’ – Hasni

0
2

MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyifatkan persaingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan pengalaman pertama buatnya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan penyandang kerusi DUN itu berkata, jumlah calon tersebut merupakan paling ramai sejak beliau bertanding tiga penggal lalu.

“Saya akan bertanding bersama tiga calon lain dan ini adalah pengalaman bilangan calon ramai di Benut.

“Berdasarkan suasana penamaan calon BN hari ini, terdapat antara tiga hingga empat penjuru proses demokrasi lancar dan mesra.

“Bagi yang bertanding dalam tempoh dua minggu ini saya harap kita patuh prosedur operasi standard (SOP) dalam siri kempen dan BN juga sudah atur gerak kerja.

“Saya percaya tiada parti hendak sekat parti lain bertanding dan tiada bantahan dibuat serta apa yang saya lihat parti lain sambut baik SOP yang beri ruang dan peluang untuk berjumpa pengundi,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai proses penamaan DUN Benut di Dewan Serbaguna Benut hari ini.

Hasni akan berdepan pertandingan empat penjuru apabila ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Isa Ab Hamid, selain calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Iskandar Noor Ibrahim dan Calon PKR, Haniff@Ghazli Osman.

Isa ialah wakil dari kalangan masyarakat Orang Asli di Dewan Negara.

Pengumuman pencalonan keempat-empat calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya DUN Benut, Mohd Rafi Abdullah.

Pada PRU14 lalu, kerusi DUN itu dimenangi Hasni dengan dengan majoriti 4,447 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here