
BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal akan berdepan tiga saingan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Calon Bersatu itu akan ditentang bekas ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed dari Barisan Nasional (BN), calon Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Nurafiqah M Zulkifli dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Md Taib Md Suhut.
Pengumuman rasmi calon bertanding itu dibuat oleh Pegawai Pengurus (RO) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Bukit Kepong, Rahaman @ Abdul Rahman Selamat selepas selesai proses penamaan calon pagi tadi.
Proses penamaan berlangsung di Dewan Karisma, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh ditutup pada jam 10 pagi setelah hanya empat calon mengemukakan borang pencalonan mereka. – Malaysiapost
