CALON Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang ditukar pada saat akhir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.
Mohd Helmi Abdul Latif yang sebelum ini diumumkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal bertanding di DUN berkenaan ditukar saat akhir dengan calon Selamat Takiman.
Selamat, 57,hadir ke pusat daerah mengundi di Dewan Dataran Sungai Buaya, Muar untuk menyerahkan borang pencalonan pada kira-kira jam 8.45 pagi.
“Soal pertukaran adalah biasa dalam proses rundingan di peringkat kepimpinan tertinggi parti dalam menentukan calon yang terbaik. Tiada soal penolakan.
“Tiada ada soal penolakan, tiada soal perkara yang tidak sepatutnya. Cuma Umno-BN akan mencari satu keputusan yang terbaik dan pihak kami tiada masalah kerana ini adalah perkara biasa dalam keluarga Umno-BN dan Alhamdulillah ia dapat diatasi dan keadaannya sangat baik pagi ini,” katanya kepada media, hari ini.
Bagaimanapun, Selamat mengakui hubungannya dengan Mohd Helmi masih baik kerana beliau juga akur dengan keputusan parti.
“Niat saya sebagai seorang ahli Umno yang patuh pada perintah parti dan segala keputusan yang telah diputuskan pucuk pimpinan saya sebagai ahli Umno yang akan mewakili BN akur dengan keputusan tersebut.
“Sangat baik sebab dia KP saya dan kita sentiasa bekerjasama dalam apa jua program dan malam tadi pun kita bersama dan kita akan terus bangkit bersama-sama untuk memimpin bagi memastikan kemenangan BN.
“Dan Helmi juga akan membantu saya dan dia sangat memberi kerjasama. Dia juga menerimanya kerana ini keputusan parti,” katanya. – Malaysiapost

