Mohammadin boleh dihukum hina penjawat awam – Musa Hassan

0
3

TINDAKAN undang-undang boleh dikenakan ke atas bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi mengikut Akta Polis jika menghina pasukan polis serta Kanun Keseksaan seandainya menghina penjawat awam.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, walaupun Mohammaddin menghina anggota keselamatan yang telah meninggal dunia, namun ia secara tidak langsung menghina anggota yang sedang bertugas.

“Kalau menghina tindakan polis, (boleh dihukum) di bawah Akta Polis, menghina penjawat awam di bawah Kanun Keseksaan pun ada.

“Walaupun orang itu sudah meninggal dunia, tapi dia cakap soal keselamatan, mestilah tentera dan polis.

“Masih ramai tentara dan polis yang masih hidup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, seperti dilaporkan Malaysia Gazette hari ini.

Isnin lalu, satu hantaran video tular di media sosial memaparkan Mohammaddin mempersendakan pasukan keselamatan ketika berkempen hingga mencetuskan kemarahan semua pihak.

Mohammaddin bagaimanapun tampil dengan permohonan maaf dan menjelaskan kenyataannya berhubung pasukan keselamatan seperti diucapkan beliau dalam klip video itu sudah disalah erti.

Tambah Musa, pihak Bukit Aman harus mempercepatkan siasatan bagi membolehkan pemimpin Warisan itu dihadapkan ke Mahkamah.

“Jangan ingat bila kita terlibat dalam politik, kita boleh membelakangi undang-undang atau kita lebih teratas daripada undang-undang.

“Tidak ada tindakan yang boleh diambil terhadap diri kita, kerana kita adalah orang politik.

“Semua (orang) di mata undang-undang semuanya sama, tidak ada sesiapa boleh melangkaui undang-undang,” katanya.

Menurut beliau, tindakan Mohammaddin tidak boleh dimaafkan kerana ia bukan sahaja mengguris perasaan anggota keselamatan bahkan waris-waris yang kehilangan ketua keluarga dalam insiden berdarah di Lahad Datu, Sabah itu.

“Saya harap jangan politikkan kerana mereka mempunyai waris-waris yang masih hidup dan mereka ini akan terkesan dengan kenyataan-kenyataan yang ini.

“Sepatutnya kita memberikan penghargaan kepada waris-waris ini kerana mereka dan anak-anak bersedia berkorban bersama suami mereka yang terkorban,” katanya.

Katanya lagi, hukuman setimpal ke atas Mohammaddin bukannya satu tindakan balas dendam sebaliknya ia keadilan perlu selari dengan undang-undang.

“Saya harap tiada sesiapa yang memperlekehkan lagi tindakan-tindakan yang dibuat oleh pasukan keselamatan, anggota polis atau tentera.

“Mereka ini mengorbankan nyawa untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara ini untuk keselesaan dan pembangunan dalam negara,” katanya. – Malaysiapost