Isu Laut China Selatan seret Malaysia ke kancah perperangan, kata pakar

0
3

Aiman Hanif

Isu kedaulatan Laut China Selatan amat mencengkam negara dan boleh mengheret Malaysia ke kancah perperangan jika silap percaturan dalam menangani isu ini dengan berkesan.

Pakar Kajian Strategik dan Ancaman Keganasan, Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam, berkata isu berkenaan dijangka akan menjadi penyebab kepada krisis lebih besar di rantau ini termasuk Asean.

“Isu ini amat mencengkam Malaysia dan negara-negara serantau. Isu ini dijangka akan menjadi penyebab kepada krisis lebih besar di rantau ini termasuk Asean.

“Perhatian yang lebih oleh Amerika Syarikat atau Australia untuk mengimbangi kuasa China di Laut China Selatan akan menjadikan kawasan ini panas.

“Dalam masa sama kita sedang berusaha membesarkan kawasan pencarian minyak untuk sumber negara. Dijangka pertembungan atau peperangan boleh berlaku jika silap percaturan walaupun sedikit,” katanya kepada Malaysia Post.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan yang tiada lagi kapal pengawal pantai dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan negara buat masa ini, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata ini hasil hubungan dua hala yang ditambah baik antara kedua-dua negara sepanjang tempoh 100 hari sejak beliau dilantik memimpin Wisma Putra.

“Satu-satu perkara yang saya terpaksa betulkan sejak memimpin Wisma Putra ini ialah membaik pulih hubungan dengan China, India, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu… jadi bila kita cakap pasal Laut China Selatan, sudah pasti hubungan dengan China adalah penting.

“Terbaru, dalam 100 hari memimpin Wisma Putra, kapal-kapal China di perairan kita sekarang ini dah tak ada lagi dan cara bagaimana kita lakukannya?

“Ini antara kami dan kepimpinan China kerana pendirian saya sangat jelas yang kita tidak akan bertolak ansur dalam soal kedaulatan kita,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohd Mizan berkata isu perairan turut mengakibatkan Malaysia terpalit konflik dengan negara jiran seperti Myanmar, Thailand, Indonesia dan Bangladesh.

“Isu pelarian, isu ini menjadikan negara kita berkonflik dengan Myanmar, Thailand dan Indonesia termasuk juga Bangladesh. Isu ini boleh menyebabkan hubungan diplamatik menjadi tegang dan panas.

“Mereka juga dipelihara oleh sindiket dan gangster tempatan serta antarabangsa. Dipercayai pelbagai pihak termasuk penguat kuasa telah dibeli oleh mereka,” katanya lagi.