Covid-19: Majikan diminta terima sijil digital HSO pekerja – KKM

0
2
Dianggarkan seramai 2000 pesakit positif Covid-19 hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati Shah Alam hari ini.

SEMUA majikan diminta menerima sijil digital perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) yang dikemukakan pekerja bagi memudahkan urusan kakitangan di pusat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (CAC).

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, laporan daripada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan mendapati 30 hingga 50 peratus kes yang hadir ke CAC bukan bagi tujuan penilaian kesihatan.

Katanya, 90 peratus daripadanya datang ke CAC bertujuan untuk discaj daripada HSO dan mendesak diberikan notis secara bertulis.

“Hal sedemikian menyebabkan penambahan beban tugas di CAC di mana fokus petugas kesihatan adalah kepada aspek penilaian dan perawatan kes yang memerlukan perhatian khusus.

”Oleh yang demikian, majikan diseru peka terhadap perkara ini dan menerima sijil digital HSO dan Release Order (RO) yang dikemukakan serta tidak lagi mendesak pekerja untuk mendapatkan pengesahan daripada CAC,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

KKM sebelum ini memaklumkan, setelah tempoh isolasi berakhir, pesakit perlu melakukan salinan paparan skrin atau screenshot pada sijil digital HSO dan RO untuk makluman lanjut pihak majikan atau pihak yang berkaitan.

Awal Febuari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata individu yang positif Covid-19 dalam kategori 1 dan 2A serta tidak berisiko tinggi, tidak perlu hadir ke CAC.

Mereka bagaimanapun perlu melakukan pemantauan kesihatan kendiri dengan melengkapkan Peralatan Penilaian di rumah (HAT) menerusi aplikasi MySejahtera.

Katanya, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan daripada perkhidmatan rakaman suara automatik (panggilan robot) akan dihantar jika mereka belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri secara harian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here