
KES Covid-19 di Malaysia terus melonjak melepasi angka 32,000 selepas mencatatkan 32,070 kes semalam, sekali gus paling tinggi yang pernah direkodkan dalam negara.
Ia menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 3,337,227 kes sejak virus maut itu melanda negara.
Kelmarin, Malaysia mencatatkan 31,199 kes baharu dengan 305 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU)
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes harian yang direkodkan semalam membabitkan 31,861 kes tempatan dan 209 kes import.
“Sebanyak 99.44 peratus atau 31,890 kes adalah pesakit dalam kategori 1 dan 2 iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan, selebihnya 180 kes bersamaan 0.56 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5.
“Daripada 180 kes kategori 3, 4 dan 5, sebanyak 49 kes iaitu 27.22 peratus tidak atau belum divaksinasi, 93 kes sudah menerima dua dos vaksin dan 38 kes sudah menerima dos penggalak.
“Manakala, 83 kes berumur 60 tahun ke atas, 89 kes mempunyai komorbid, satu kes ibu mengandung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 16 kluster baharu direkodkan menjadikan keseluruhan kluster setakat ini adalah 6,762 kluster dengan 6,252 kluster telah tamat dan 510 kluster masih aktif.
“Jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 23,332 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,018,172 kes,” katanya. – Malaysiapost
