Disisihkan pada PRU14, Puad diumum calon BN DUN Rengit

0
2
puad zarkashi

BEKAS Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.

Nama beliau diumumkan sebagai calon bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Johor Bahru hari ini.

Beliau bakal berdepan calon PKR, Khairuddin A Rahim manakala calon Perikatan Nasional (PN) mahupun Pejuang belum diumumkan.

Ini kali pertama Mohd Puad, 64, bertanding kerusi DUN serta membuat penampilan semula di pentas pilihan raya selepas tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Susulan tidak dicalonkan ketika itu, Mohd Puad bercadang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu Pahat namun tidak berbuat demikian selepas mendakwa mendapat nasihat daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mohd Puad pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat selepas menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti 12,968 undi pada 2008 ketika PRU12.

Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan kerusi itu semasa PRU13 selepas tewas pada calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi yang memperoleh 38,563 undi, dengan majoriti 1,524 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here