‘Hidup masih belum bahagia seperti dulu’

0
2

Nurul Huda Abhar

“JIKA sebut tentang hati yang kecewa pasti ada, tetapi nenek reda.” Itu reaksi Rohana Mahfuz, 75, apabila ditanya keadaannya selepas kehilangan rumah pusaka akibat dihanyutkan banjir besar, tiga bulan lalu.

Dalam pandangan sayup, Rohana mengakui perasaannya masih berasa kehilangan mengenangkan rumah kesayangannya yang lenyap dalam kejadian tersebut, dan hanya tinggal adalah tangga batu.

Rohana Mahfuz, 75

Menurut Rohana, walaupun reda dengan takdir yang tertulis namun dia memerlukan sedikit masa untuk mengubat perasaannya sendiri.

“Kalau sebut hati yang kecewa, masih tidak ada yang berbeza. Tetapi tidak tahu nak cakap kecewa macam mana.

“Sebenarnya kita ini kehilangan tetapi nenek reda. Mungkin ambil masa untuk mengubat kecewa. Hidup masih belum bahagia seperti dulu,” katanya ketika ditemui Malaysiapost, baru-baru ini.

Berkongsi perkembangan dirinya, Rohana berkata kini dia tinggal di sebuah rumah kecil yang dibina bersebelahan tapak rumah pusakanya yang dihanyutkan banjir tempoh hari.

Ujarnya, selepas kisahnya tular dan mendapat liputan media, bantuan yang diterima sangat banyak dan dia bersyukur dengan keprihatinan rakyat Malaysia.

Rohana mengakui perasaannya masih berasa kehilangan mengenangkan rumah kesayangannya yang lenyap dalam kejadian banjir tersebut

“Bantuan banyak. Ramai yang bantu nak buat rumah untuk nenek. Ramai yang mahu nenek ada rumah semula, nenek akan usahakan

“Ketika ini nenek duduk di rumah sementara yang dibina dengan duit sendiri. Kerana pada awal masih kurang dapat bantuan. Sekarang Allahamdulillah, bantuan tidak putus,” katanya.

Rohana berkata, dia sangat menghargai sumbangan disalurkan orang ramai termasuk individu yang datang menghulurkan bantuan dari segi emosi dan tenaga kerja.

“Di kesempatan ini nenek nak ucap terima kasih banyak yang bantu dari segi kewangan, dan juga datang bertanya keadaan nenek.

“Semua datang prihatin dengan kesedihan nenek. Mereka datang bantu, dan bila mereka pulang mereka bawa kesedihan nenek sikit-sikit,” katanya.

Kisah Rohana yang kehilangan rumah pusaka dalam kejadian bencana banjir besar di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor, pada 18 Disember lalu mendapat reaksi pelbagai pihak.

Kejadian yang menimpa warga emas itu turut mendapat perhatian pendakwah dermawan, Ebit Lew yang berjanji akan membina semula rumah Rohana yang hanya tinggal tangga sahaja.

Dalam kejadian pada 18 Disember lalu, Rohana sempat menyelamatkan diri sebelum rumah pusaka didiaminya hanyut dalam kejadian banjir.

Rumah pusaka yang dibina pada tahun 1969 peninggalan ibu bapa kepada lapan beradik itu menjadi tempat berteduh kepada Rohana yang juga anak sulung. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here