Lelaki cuba terjun dari bumbung IPD Kuala Muda

0
2

SEORANG lelaki bertindak cuba terjun dari bumbung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki terbabit dipercayai berhalusinasi dan tertekan serta mendakwa dikejar seseorang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Anuar Abd Rahman, berkata lelaki terbabit sebelum itu membuat laporan polis jam 1.10 pagi mendakwa dia diekori seseorang.

Menurutnya, lelaki berusia 47 tahun dan bekerja sebagai pengutip tin itu kemudian menaiki tangga di bahagian tengah bangunan untuk ke bumbung IPD di tingkat empat.

“Pintu besi yang menutupi laluan tangga menuju bumbung tidak berkunci kerana terdapat kerja penyelenggaraan bumbung yang bocor.

“Petugas pondok pos pengawal IPD melihat lelaki terbabit jam 4.45 petang sebelum dia mamaklumkannya kepada seorang pegawai polis,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurutnya, pegawai terbabit kemudian bergegas ke padang kawad dan melihat suspek berada di bumbung tanpa memakai baju.

“Dia kemudian menghubungi bomba dan ambulans untuk tindakan lanjut dan suspek berjaya diselamatkan jam 6.25 petang.

“Suspek dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk menjalani rawatan psikiatri,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular di media sosial video dan gambar lelaki terbabit yang berada di atas bumbung IPD Kuala Muda sambil mengibarkan bajunya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here