AHLI Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membangkitkan persoalan sama ada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah membayar kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, baru-baru ini.
Ia susulan Hishamuddin, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamed dikenakan kompaun kerana melanggar SOP ketika majlis pelancaran briged MIC di Johor pada 13 Februari lalu.
“Walaupun saya berharap Hishammuddin cepat sembuh daripada Covid-19, saya ingin tahu sama ada ketiga-tiga mereka termasuk penyandang Menteri Besar Johor, Hasni Mohamed telah membayar kompaun mereka.
“Jika tidak, mengapa lewat?,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempertikaikan mengenai tindakan Menteri Kabinet serta timbalan yang mempunyai perangai hipokrit.
“Buat seperti yang saya kata, bukan seperti yang saya lakukan apabila ia berkaitan dengan pematuhan SOP. Berapa ramai daripada mereka yang sebenarnya telah dikompaun kerana melanggar SOP?
“Kegagalan mereka bukan sahaja mendapat kritikan daripada orang ramai, malah mempersendakan SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Lip Eng turut tidak berpuas hati dengan jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan Hishammuddin tidak perlu meletakkan jawatan kerana kesalahan yang dilakukannya bukan jenayah.
“Saya benar-benar terkejut dengan sikap Perdana Menteri yang mementingkan diri sendiri, kerana pelanggaran SOP oleh salah seorang menteri kanannya tidak boleh dipandang ringan.
“Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan rakyat di majlis pelancaran briged MIC Johor di Iskandar Puteri, Johor pada 13 Feb yang penuh sesak,” katanya.
Terdahulu Hishammuddin yang disahkan positif Covid-19 semalam, dinasihatkan menjalani isolasi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT).
Hishammuddin dalam satu kenyataan berkata, beliau mengalami gejala akibat jangkitan virus itu namun kesihatannya dalam keadaan baik. – Malaysiapost

