DUA produk rumusan bayi iaitu ‘Similac Alimentum’ dan ‘Similac Human Milk Fortier’ keluaran Abbott Nutrition Sturgis dari Amerika Syarikat dikesan mengandungi bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) mengenai perkara berkenaan.
“Hasil siasatan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati hanya dua produk rumusan bayi yang terlibat iaitu Alimentum (400g) dan Human Milk Fortifier (0.9gx50 sachets) dengan nombor batch yang dimulai digit 22 hingga 37 pada kod bar di bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1.4.2022 dan seterusnya.
“Dengan itu, KKM telah mengenakan tindakan penolakan (auto-rejection) di semua pintu masuk negara ke atas produk terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KKM juga telah menghubungi pihak syarikat Abbott Laboratories (M) Sdn Bhd dan mengesahkan bahawa syarikat tersebut telah membuat penarikan balik produk terlibat yang berada di pasaran tempatan secara sukarela.
“Syarikat terbabit juga mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan institusi yang membeli produk berkenaan agar menghentikan penjualan produk tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham memohon semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut, menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
“Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk mengenalpasti nombor siri produk berkenaan serta berhenti menggunakannya dan memantau kesihatan bayi serta segera mendapatkan rawatan sekiranya bayi mempunyai gejala,” katanya.
Menurutnya bakteria Cronobacter sakazakii, terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup pada keadaan kering seperti di dalam rumusan bayi dan jangkitannya boleh menyebabkan meningitis atau sepsis.
“Walau bagaimanapun, ianya jarang berlaku dan gejala yang ditunjukkan oleh bayi adalah seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan,” kata KKM.
Tambahnya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.
“Pengguna juga boleh melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. – Malaysiapost

