MAHKAMAH Rayuan menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengembalikan semula tuntutan samannya terhadap kerajaan berhubung kes liwat 2 pada 2015.
Hakim Datuk Abu Bakar Jais, ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah berkata, mahkamah rendah tidak tersilap dalam keputusannya untuk membatalkan saman itu.
“Perayu (Anwar) berkata, umum mengetahui Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sebelum rayuannya dimulakan sekali gus menjadikan Shafee sebagai pendakwa raya (ad hoc) yang tidak bebas.
“Bagaimanapun, dakwaan itu adalah satu penegasan semata-mata dan tidak disokong oleh bukti.
“Dalam apa jua keadaan, walaupun terbukti wang tersebut telah dibayar kepada Shafee, kami tidak fikir ini menjejaskan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” katanya seperti dilapor FMT.
Panel hakim yang bersidang bersama Abu Bakar ialah Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Supang Lian.
Abu Bakar menegaskan bahawa saman itu adalah percubaan untuk mengetepikan sabitan kes liwat 2 terhadap Anwar.
“Mahkamah Tinggi adalah betul dalam memutuskan bahawa kes ini adalah penyalahgunaan proses,” katanya.
Dalam tuntutan mahkamahnya, Anwar mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib untuk mengetuai pasukan pendakwaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mulai 2013.
Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan kemudiannya menerima Pengampunan Diraja.
Beliau memfailkan rayuan selepas tuntutan mahkamah itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dan pada September 2018, bekas pegawai khas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, Siti Rahayu Mohd Mumazaini, memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan Anwar bagi mengembalikan samannya.
Beliau menyatakan bahawa Shafee menerima RM9.5 juta antara 2013 dan 2014 daripada Najib kerana mengendalikan rayuan kes liwat 2.
Shafee kini dibicarakan atas empat pertuduhan pengubahan wang haram berhubung RM9.5 juta yang diterimanya daripada Najib.
Anwar diwakili J Leela dan How Li Nee, manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili kerajaan. Sarah Abishegam mewakili Shafee, yang bertindak menjadi pencelah. – Malaysiapost

