BN, PN henti berlakon siapa lagi suci

0
3

PKR menggesa Umno dan Barisan Nasional (BN) serta Bersatu dan PAS melalui Perikatan Nasional (PN) supaya berhenti berlakon atas siapa tokoh yang lebih suci dan tidak korup.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata mengambil isu saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai contoh, setakat ini tiada sebarang tindakan diambil.

Maka katanya, BN dan PN tidak perlu hipokrit kononnya tolak korupsi sedangkan kedua-duanya membisu dalam isu tersebut.

“Bagi KEADILAN, jelas kedua-dua barisan ini adalah sama. UMNO/BN adalah sinonim dengan penyelewengan dan budaya korupsi selama 60 tahun ini. Tidak kira kluster mahkamah ataupun kluster lain, virusnya tetap sama.

“Tambahan pula, kedua-dua blok ini sebahagian kerajaan yang gagal menguruskan pandemik tahun lepas dan terus terjerumus dalam perperangan dalaman.

“Adakah rakyat boleh terus menaruhkan harapan kepada mereka? Tidak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Chean Chung berkata, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PKR menawarkan dasar dan menampilkan pimpinan yang jelas menolak budaya korupsi.

Ini katanya berbeza dengan parti-parti lain, tiada seorang pun pemimpin PKR hari ini yang dibicara di mahkamah soal korupsi.

“Selama 23 tahun perjuangan, KEADILAN masih konsisten memperjuangkan politik bersih dan telus melalui reformasi institusi dan kesedaran awam.

“Maka atas semangat ini KEADILAN melancarkan kutipan dana sempena PRN Johor. Kemeja T yang dilancarkan ini tertera dengan tulisan “Tolak Korupsi” dalam pelbagai Bahasa.

“Bagi yang ingin menyumbang derma boleh disampaikan kepada akaun Parti Keadilan Rakyat (Hong Leong Bank: 19901000076),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here