TAN Sri Muhyiddin Yassin tiada halangan jika Datuk Ahmad Zahid Hamidi mahu melakukan sumpah laknat menafikan dirinya pernah meminta pertolongan berhubung kes rasuah dihadapinya di mahkamah.
Kata Perdana Menteri itu, beliau tidak terkesan walau Presiden Umno itu mahu bersumpah laknat beberapa kali sekalipun, kerana dirinya tidak berbohong kepada rakyat, lapor Malaysia Gazette.
“Itu hak dia, dia nak sumpah ke tak sumpah. Saya bercakap benar, nak cakap dengan rakyat jangan bohong. Kalau dia nak sumpah, berapa kali sumpah…sumpah lah itu terserah pada dia,” kata hari ini.
Baru-baru ini Ahmad Zahid menyatakan kesanggupannya untuk sumpah laknat bagi menafikan tuduhan Muhyiddin mendakwa beliau pernah meminta pertolongan berkaitan perbicaraan kesnya di mahkamah.
Presiden Umno itu mempersoalkan dakwaan tersebut, yang menurutnya hanya timbul menjelang musim pilihan raya, merujuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan bulan depan.
Terdahulu Muhyiddin mendakwa Ahamd Zahid melawatnya selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan dengan membawa fail bertimbun.
Sementara itu, Muhyiddin enggan melayan cabaran Ahmad Zahid yang memintanya sumpah laknat bagi membuktikan dakwaan itu berasas.
“Saya tidak akan bersumpah pasal saya tak pernah berbohong, apa yang saya sebut itu adalah sesuatu yang hak, walaupun yang betul itu kadangkala pahit didengar,” katanya. – Malaysiapost

