PN, PH masih guna tipu daya, ‘barbaric’ burukkan BN – Zahid

0
2

PERIKATAN Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masih menggunakan politik tipu daya dan ‘barbaric’ untuk memburukkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sebelum itu dimaklumkan jentera parti bahawa PN sedang melancarkan serangan terhadap BN di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

“Manakala PH sedang menumpukan serangan bertali arus terhadap BN di kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu di sekitar negeri Johor.

“Malah, saya dimaklumkan juga tentang PN dan PH menggunakan modus operandi sama digunakan PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memerangkap rakyat Johor,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, PN dan PH selalu menggunakan pelbagai helah, tipu muslihat dan propaganda termasuk memanipulasi hukum agama untuk memburuk-burukkan BN.

Selain itu, katanya, kedua-dua parti itu juga selalu mengulangi fitnah lama dan menjaja tindakan mahkamah yang mereka sendiri kenakan terhadap pimpinan BN ketika berkuasa.

“Seperti PRU14, senjata utama mereka serangan peribadi keatas pimpinan BN bagi menyemat kebencian dalam minda dan jiwa pengundi Johor,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan PN dan PH itu sudah diketahui BN dan berusaha memperkasakan strategi bagi menepis serangan berkenaan demi menyelamatkan rakyat Johor.

“Syabas jentera BN menghidu percaturan licik mereka dan melakukan serangan balas untuk menyelamatkan Bangsa Johor daripada terpedaya sekali lagi.

“Serangan balas yang dilakukan secara berfakta, berhemah, matang dan sejahtera bagi melawan kebatilan yang dibawa PN/PH untuk PRN Johor.

“Bagi saya maklumat itu bukan sesuatu yang mengejutkan berdasarkan salasilah kedua-dua gabungan parti politik itu berasal daripada DNA yang sama.

“Lagipun, kita masih ingat Bersatu yang mengepalai PN ditubuhkan sebelum PRU14 adalah untuk menyertai PH menentang BN,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu ketika itu memainkan peranan penting menghasut, memujuk orang Melayu memberi undi kepada PH yang dibarisi DAP, PKR dan PAN.

“Kini pada waktu BN menjanjikan kestabilan mutlak akan dikembalikan di Johor, PN/PH kembali dengan politik tipu daya dan “barbaric” mereka.

“Justeru, PRN Johor yang perlu diadakan pada 12 Mac ini demi kestabilan merupakan satu ujian cukup besar buat kita semua.

“Apakah kita masih mengingati nasib buruk Johor alami sepanjang 22 bulan negara ditadbir PH dan 17 bulan dibawah pentadbiran PN.

“Apakah kita akan masuk perangkap yang sama pada PRU14 masa jua akan menentukan apabila tibanya hari tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, BN tidak akan sesekali hilang keyakinan terhadap kebijaksanaan Bangsa Johor dalam membuat keputusan berhubung masa depan mereka.

“BN tidak akan sesekali berpaling daripada usaha mengembalikan kestabilan, kesejahteraan, kejayaan dan kemakmuran yang dirampas daripada rakyat Johor pada 9 Mei 2018,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here