Bekas wakil rakyat Warisan tubuh parti baru

0
2

BEKAS Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Peter Anthony mengumumkan penubuhan Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai parti baharunya yang mesra Gabungan Rakyat Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata parti berbilang kaum itu diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 18 Februari lalu dan akan dilancarkan secara rasmi pada 13 Mac.

“Parti ini hanya akan dianggotai oleh orang Sabah sahaja. Kita mahukan sebuah parti yang menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah.

“Tiada guna kita mempunyai sebuah parti kalau tidak boleh menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, beliau akan memohon menyertai GRS sebaik sahaja gabungan itu didaftarkan secara rasmi.

“Bagi kita selaku parti yang kerdil, kita akan majukan Sabah bersama-sama dengan gabungan Sabah untuk bekerjasama dengan parti-parti sedia ada seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta gabungan lain dalam GRS,” katanya.

ADUN Melalap itu mengumumkan keluar daripada Warisan pada 28 Disember tahun lalu bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here