Pakar pendidikan: Tiada yang baharu dalam konsep ‘Sekolahku Sejahtera’

0
2

PAKAR pendidikan menyifatkan tiada elemen baharu dalam program konsep ‘Sekolahku Sejatera’ diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata semua 14 elemen Sejahtera diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini telah sedia ada dalam kurikulum.

Elemen berkenaan ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

“Hampir satu jam saya menekuni satu persatu apa itu 14 elemen SEJAHTERA. Apa yang perkara yang baru? Jawapannya, tiada yang baru.

“Sebenarnya semua 14 elemen tersebut memang telah sedia ada dalam kurikulum pendidikan Islam, pendidikan Moral, Bahasa Melayu, Pendidikan Sains, Pendidikan Matematik, pendidikan kesihatan dan jasmani, dokumen sisipan nilai murni dan juga di dalam dokumen peraturan tata tertib sekolah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, isu harus difokuskan KPM ialah keberkesanan pelaksanaannya selain isu silibus pembelajaran yang terlalu berpusat peperiksaan menyebabkan usaha membina kesejahteraan murid-murid terpinggir. 

“Sepatutnya menteri mengambil peluang sesi pelancaran ‘Sekolahku Sejahtera’ untuk membentangkan ‘Pelan Tindakan Kesejahteraan Murid’ untuk dilaksanakan di semua sekolah secara lebih teratur dan mapan.

“Itu lebih baik,” katanya.

Hari ini, Radzi melancarkan konsep Sekolahku Sejahtera bermatlamat melahirkan generasi muda yang hebat serta mampu bersaing di peringkat dunia.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here