Zahid beri peringatan pada ahli Umno ‘jerat tidak lupakan pelanduk’

0
2

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pembelot Umno mengitar semula skrip Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kononnya mahu menyelamatkan parti itu dengan harapan ada penyokong yang akan masuk perangkap yang kedua.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata secara tiba-tiba mereka yang belot enggan mengaku mengkhianati Umno walaupun berkomplot secara rasmi dan sahih dengan musuh parti itu ketika PRU14.

“Kali ini mereka silap kerana selepas apa penyokong Umno terbabit saksikan selepas 9 Mei 2018, mereka kembali meyakini Barisan Nasional (BN) satu-satunya gabungan politik yang benar dan berwibawa.

“Maka seluruh ahli Umno ingatilah peribahasa pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk dan mereka sedang memasang jerat sekali lagi,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kisah segelintir penyokong Umno berjaya diperdaya oleh pembelot kepada perjuangan Umno pada PRU14 memang pahit untuk ditelan.

Katanya, mereka terpengaruh dengan dakyah dilemparkan oleh pembelot Umno yang bersekongkol dengan musuh untuk menjatuhkan parti itu.

“Mereka terpesona dengan janji bulan bintang pembelot Umno yang menawarkan lebih kesenangan andai musuh Umno diberi undi dalam PRU berkenaan.

“Mereka terperangkap dengan naratif palsu pembelot Umno konon mereka mahu mengalahkan Umno adalah untuk selamatkan Umno.

“Namun penyokong Umno terbabit menyaksikan sendiri apa yang dilakukan oleh musuh dan si pembelot terhadap Umno sejurus memegang kuasa,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau sendiri didesak supaya membubarkan parti, manakala pemimpin yang enggan berpaling tadah serta akur kepada ugutan dan tawaran pembelot diasak dan ditekan.

Ujarnya, tidak cukup dengan itu mereka mengambil tindakan perundangan dalam usaha untuk mengisytiharkan Umno sebagai parti yang tidak sah.

“Selepas usaha itu gagal mereka menggunakan pula kuasa jabatan kerajaan dalam cubaan melemahkan struktur kepimpinan Umno kerana bimbangkan kebangkitan Umno,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here