Ramasamy puas hati anak dikembalikan kepada Ibu

0
2

TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan tiga kanak-kanak diislamkan tanpa kebenaran, dikembalikan kepada ibu kandungnya dengan serta merta.

“Saya puas hati sebab (kes) ini menegakkan undang-undang Perlembagaan Malaysia. Ia menghormati undang-undang 2018 iaitu mana-mana pihak tidak boleh memalsukan agama lain sama ada Islam atau lain.

“Pada saya ini bukan isu agama atau isu kaum. Ini adalah antara ibu dan anak.

“Jadi ia satu undang-undang semulajadi. Sesiapa pun tidak boleh pisahkan anak-anak di bawah umur daripada jagaan ibunya. Mana-mana mahkamah di dunia akan memberikan hak kepada ibu.

“Ia tidak ada (bukan) batasan-batasan agama, etnik dan sebagainya. Kita kembali kepada undang-undang,” katanya kepada media di pekarangan mahkamah, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, berkata menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.

“Terdapat juga perintah ex-parte interim bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada pemohon.

“Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya dalam berhadapan penghinaan mahkamah. Oleh sebab perintah mahkamah masih kekal, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here