Annuar sepatutnya berbisik kepada PM

0
2

SETIAUSAHA Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan gesaan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa supaya Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen sebagai tidak masuk akal dan mengarut.

Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata Annuar bertindak seolah-olah masih Ahli Parlimen Pembangkang dengan meminta pilihan raya mengejut diadakan.

“Sepatutnya beliau (Annuar) bisik kepada Perdana Menteri kerana mereka berada, duduk pada blok yang sama iaitu blok kerajaan… ini tidak beliau bertindak seolah-olah masih pembangkang, “

“Kalau betul nak bubar jangan buat kenyataan, terus bisik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi saya ini mengarut dan tak masuk akal,” katanya ketika ditemui media bersama calon Warisan Plus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong, Justin Wong di Tawau hari ini.

Terdahulu, Annuar dalam kenyataannya berkata, Pilihan Raya Umum adalah langkah terbaik mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan pemimpin pilihan mereka, sekali gus menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu turut menegaskan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mungkin akan menjadi Perdana Menteri, tidak kira berapa bilangan ahli Parlimen dan daripada parti mana yang menyokongnya. – Malaysiapost