Sabah sukar bangkit jika tiada kesatuan – Muhyiddin

0
3

SABAH sepatutnya sehaluan dengan kerajaan Persekutuan ketika Covid-19 masih menular, agar usaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik itu lebih mudah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata sukar bagi negara ini atau Sabah bangkit semula dan berada di landasan betul jika tiada kesatuan pemikiran dan haluan sama.

“Sewajarnya dalam keadaan sukar ini, kita perlu gabungan kekuatan antara kerajaan Persekutuan dan negeri. Kalaulah sehaluan, sekapal, sehati, sejiwa dengan saya, pastinya rakyat Sabah lebih terbela, itu logiknya.

“Bukan jika tak sehaluan saya tidak bantu, itu zalim namanya. Kalau ada gabungan kerjasama, muafakat dan bersama-sama berjuang, alangkah mudahnya kita usahakan membantu rakyat supaya mereka tidak terkesan teruk dengan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra YAB Perdana Menteri di tapak pasar tamu di Beluran hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, Samad Jambri.

Perdana Menteri berkata, beliau mengumumkan tambahan peruntukan RM10 bilion untuk program Kita Prihatin semalam kerana PN adalah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat.

Katanya, kerajaan menyediakan satu lagi tambahan untuk membantu rakyat di bawah terutama luar bandar yang sebahagian besar petani dan peladang.

“Kita sediakan bantuan tambahan RM1,000,  RM600, RM300, bujang pun dibagi untuk tambahan bagi menyara keluarga.

“Apa yang Warisan (Parti Warisan Sabah) buat? Saya pergi banyak tempat ada umum tapi tidak terima lagi duit,” katanya. – Malaysiapost