KPLB bantu aktifkan pembangunan pekebun kecil di Johor

0
2

SERAMAI 18,507 pekebun kecil di Johor bakal menerima manfaat dengan peruntukan sebanyak RM41.2 juta yang disediakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), bagi pembangunan pekebun kecil getah di bawah RISDA negeri tahun ini.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, berkata pembangunan berkenaan akan membabitkan keluasan tanaman getah sebanyak 34,506 hektar di negeri berkenaan.

“Daripada jumlah itu, RM24.1 juta untuk Pembangunan Kawasan Bertanam Getah, RM6.7 juta untuk Pembangunan Produktiviti Getah, RM2 juta untuk Pembangunan Hasil Baharu, RM1.2 juta untuk kawalan penyakit dan RM7.1 juta untuk Bantuan Musim Tengkujuh.

“Daerah Segamat menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM16.9 juta berikutan daerah ini antara kawasan yang paling ramai pekebun kecil iaitu sekitar 8,181 orang dengan keluasan tanaman getah seluas 14,182 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pekebun Kecil Makmur Peringkat Johor 2022 yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kampung Paya Merah, Labis, semalam.

Mohd Salim berkata, menerusi peruntukan tersebut diharapkan lebih ramai masyarakat akan menyertai RISDA terutama generasi muda melalui program ekonomi dan keusahawanan.

Katanya, pekebun kecil perlu mengambil peluang yang disediakan ini bagi membolehkan bantuan-bantuan lain disalurkan untuk manfaat peningkatan ekonomi keluarga Malaysia pekebun kecil getah”

Sementara itu, beliau berkata RISDA yang juga agensi di bawah KPLB, mensasarkan peningkatan pendapatan pekebun kecil ke paras RM4,500 sebulan menjelang 2025.

“RISDA telah memainkan peranannya dan bertanggungjawab memajukan sektor pekebun kecil menerusi penanaman getah seramai 552,543 orang sejak penubuhannya pada tahun 1973,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here