Tahanan positif Covid-19 meninggal dunia

0
2

UNIT Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) akan menjalankan siasatan berkenaan kes kematian seorang tahanan di Hospital Kota Tinggi, Johor yang disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Azri Ahmad, berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditangkap oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Reman dibenarkan selama empat (4) hari dan orang kena tahan (OKT) telah dituduh di mahkamah pada 25 Januari 2022. Jamin telah ditawarkan, namun OKT gagal sediakan penjamin menyebabkan diperintahkan menjalani tahanan reman penjara.

“Tarikh sebutan kesnya telah ditetapkan pada 1 Februari 2022 dan bicara pada 28 Februari 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azri berkata, bagaimanapun OKT ditumpangkan sementara dalam lokap polis ekoran penularan wabak Covid-19 di penjara.

Katanya, pada 16 Februari OKT telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan kerana demam dan muntah.

“Ujian yang dibuat mengesahkan OKT positif Covid-19 dan ditahan di wad Covid-19 untuk rawatan lanjut.

“Pada 18 Februari 2022 jam 4.15 pagi, OKT disahkan meninggal dunia. Punca kematian belum diketahui,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here