Muhyiddin tertekan, resah dan terdesak untuk hadapi PRN Johor – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui terguris dan kecewa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempermainkan pelbagai isu termasuk membabitkan bapanya dalam ceramah politik beliau.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata sebagai seorang anak pastinya beliau geram dan sedih apabila nama bapanya dipermainkan dan dihina Muhyiddin di khalayak ramai termasuk penyokong Perikatan Nasional (PN).

“Sebagai insan biasa tentunya saya seperti anda semua punya hati dan perasaan yang mampu untuk berasa terguris dan kecewa,” katanya menerusi Facebook.

Namun, katanya, pendekatan Muhyiddin itu bukanlah budaya politik matang dan sejahtera yang mahu diwariskan kepada pengundi muda dan generasi masa hadapan negara.

“Ayuh rakyat Malaysia janganlah kita seperti itu hanya kerana berbeda pendirian politik sehingga pupus nilai kemanusiaan dan kesopanan sesama kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau sebenarnya simpati terhadap Presiden Bersatu itu yang dilihat amat tertekan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya simpati melihat karakternya yang sedang amat tertekan, terdesak dan keresahan untuk berdepan PRN Johor sehingga meroyan dan meranyah sebegitu buruk.

“Setiap insan memiliki hati sama-samalah kita mendoakan Muhyiddin sentiasa diberi kesihatan yang baik oleh Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin tidak akan mampu menjadi Perdana Menteri sehingga 17 bulan lamanya, sekiranya benar beliau marah dengan Ahli Parlimen Pagoh tersebut.

“Jika benar saya marah beliau tidak mahu melepaskan kes mahkamah pasti sudah lama Malaysia berdepan PRU-15. (Nota: ini bukan ugutan tekan butang)

“Malah saya cekal menghadapi pendakwaan terpilih yang dikenakan oleh kerajaan PH terhadap saya di atas prinsip berani kerana benar.

“Tidak sesekali saya sanggup menggadaikan Umno apatah melompat parti mahupun berselingkuh dengan musuh untuk mengelak daripada didakwa,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid, beliau yakin dirinya tidak bersalah dan hanya mengharapkan perbicaraan yang adil dan saksama di mahkamah.

“Jika mahu terlepas daripada pendakwaan terpilih barangkali harus saja saya mengabaikan mandat akar umbi Umno menolak kerjasama Bersatu. Tetapi haruskah saya melanggar amanah itu?

“Sebenarnya kita harus berasa sangsi dengan dakwaan yang dibuat oleh seseorang yang telah terbukti mampu untuk berbohong dan memutarbelit apa sahaja demi kuasa.

“Sehingga sanggup memutarbelit titah Yang di-Pertuan Agong tentang Ordinan Darurat untuk berbohong kepada Parlimen, malah tergamak menipu nama sebenar,” katanya.

Malah, Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin sanggup merancang ‘scheme of things’ yang melanggar undang-undang dan prinsip demokrasi bagi ‘membeli’ sokongan wakil rakyat supaya bertambah berkuasa.

“Sanggup menawarkan sogokan secara terbuka di kaca TV kepada Ahli Parlimen supaya menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri.

“Saksikan sekutu politiknya sendiri semasa PRU-14 yang kemudian menjadi seteru selepas berpecah turut berdepan pendakwaan semasa beliau memegang kuasa Perdana Menteri.

“Tetapi percayalah sikap ‘angkat bakul’ Muhyiddin dan kutukannya terhadap saya serta nama bapa saya bukan nilai sebenar Bangsa Johor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here