Kumpulan pecah gudang, curi barang binaan tumpas

0
2

POLIS berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah pecah gudang dan curi peralatan pembinaan di Ipoh dengan tertangkapnya empat suspek, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahya Hassan, berkata pihaknya menerima aduan berkenaan kejadian jenayah terbabit Selasa lalu yang membabitkan kerugian kira-kira RM800,000.

“Hasil tindakan pantas oleh Ketua Balai Polis Bercham dan pasukan polis dari Balai Polis Bercham berjaya membuat tangkapan empat lelaki tempatan berusia 42 hingga 58 tahun.

“Polis turut merampas kenderaan serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan pecah gudang dan curi peralatan pembinaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas barangan besi seberat 7,320 kilogram (kg) yang disyaki dicuri oleh kumpulan penjenayah terbabit

“Kesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Februari ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama polis sedang memburu suspek utama yang masih bebas iaitu S Yogentheran, 40, yang alamat terakhirnya di Taman Maju Bercham, Ipoh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek atau pernah membeli barangan daripadanya diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki di talian 017-481 7800,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here