DI SEBALIK merancang bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat mengadakan pertemuan serampang dua mata dengan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Gambar pertemuan itu yang tular di akaun Twitter hari ini, dimuat naik Zack Rockstar dengan kapsyen: “Bincang apa tu Bang Mat dengan Boboi? Nak offer Pejuang (kerusi) ke? Saja tanya,” soal beliau.
Dipercayai, pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu berlangsung di Plaza Damas, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Minggu lalu, Pejuang mengumumkan bakal bertanding di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan akan mengesahkan perkara itu dua hari sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari ini.
Bagaimanapun, setakat ini Amanah belum lagi mengumumkan sebarang nama calon untuk bertanding pada PRN Johor.
Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) menyatakan PKR akan bertanding 20 kerusi, Amanah 20 kerusi manakala DAP sebanyak 16 kerusi.
Kemudian, DAP dan Amanah memperuntukkan enam kerusi kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) iaitu di DUN Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Perma. – Malaysiapost

