PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor adalah peluang terbaik bagi rakyat membuktikan kebersamaan mereka membantu parti-parti politik membina Konsensus Nasional melalui ‘Khemah Besar’ Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata ia adalah demi melawan kezaliman dari pengkhianatan yang berlaku.
Beliau yang juga Pengerusi PH Perak dan Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, Khemah Besar PH adalah strategi terbaik
sebagai tawaran kepada rakyat untuk mengembalikan kepercayaan terhadap institusi politik yang terjejas teruk hari ini.
“Konsep Khemah Besar yang dikemukakan PH perlu dinilai di atas Prinsip Umum Syariah.
“Ia meletakkan kepentingan menghimpun semua pihak mencapai makna kesatuan, kebersamaan dan kesepaduan demi menolak nilai yang boleh meruntuhkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Khemah Besar membina satu usaha secara strategi politik untuk menamatkan kebiasaan budaya khianat yang tidak menghormati mandat demokrasi.
Katanya, lebih buruk daripada itu kelompok khianati mandat sanggup gunakan sentimen perkauman sempit dan menunggang agama demi mewajarkan pengkhianatan mereka.
Beliau berkata, kemaslahatan memelihara persepaduan antara kaum terjejas teruk dan ini bercanggah dengan Prinsip Umum Syariah.
“Khemah Besar adalah untuk memelihara kesepaduan dari dirobek melalui racun asobiyah kaum dan agama yang sempit. Kuatnya sebuah kerajaan ialah dengan iltizam pemimpin melawan rasuah dan mempertahankan integriti.
“Ia memenuhi kehendak melawan kelompok ini dan yang mempertahankan rasuah dengan berbagai dalil. Usaha Khemah Besar dalam konteks ini tepat dengan perintah Syariat kita,” katanya.
Mujahid berkata, Khemah Besar PH meletakkan agenda besar negara untuk mencapai persetujuan bersama semua pihak membawa negara ke hadapan.
“Ia adalah peluang membina satu Konsensus Nasional di mana semua pihak yang mementingkan agenda besar negara diberi peluang dan tiada ruang untuk parti-parti mempertikaikan soal remeh temeh.
“Tidak ada syak lagi Khemah Besar PH adalah strategi paling terbaik sebagai tawaran kepada rakyat untuk menyaksikan kesungguhan sektor parti politik mengembalikan kepercayaan terhadap institusi politik yang terjejas teruk hari ini.
“Lebih penting kepada umat Islam ialah mereka harus yakin dan tenang bahawa Khemah Besar adalah sebahagian tuntutan dalam memenuhi Prinsip Umum Syariah,” katanya. – Malaysiapost

