POLIS akan menjalankan siasatan berhubung kematian mengejut orang kena tuduh (OKT) di Hospital Selayang, Selangor.
Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Azri Ahmad berkata, OKT berumur 39 tahun itu ditangkap pada jam 4.45 petang semalam kerana penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, OKT tersebut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan selanjutnya.
“Lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mempunyai satu rekod masih dikehendaki (wanted) mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Azri berkata, pada jam 5.30 petang hari yang sama, OKT terbabit mengadu sesak nafas.
“Pihak hospital telah dihubungi untuk membawa OKT tersebut ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
“OKT kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang, semasa menerima rawatan di hospital dan punca kematian masih belum diperolehi,” katanya.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan (USJKT) JIPS. – Malaysiapost

