KETUA Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan, 42, antara lima calon Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kawasan Johor selatan.
Napsiah akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, manakala Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Fakhruddin Moslim, 34, selaku muka baharu diletakkan sebagai calon DUN Pasir Raja.
Manakala, Arthur Chiong Sen Sern, 32, di DUN Bukit Batu dan Dr Zamil Najwah Arbain, 48, yang pernah bertanding di DUN Tanjung Surat pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) lalu ditampilkan semula sebagai calon DUN Larkin.
Penyandang kerusi DUN Tiram, S Gopalakrishnan, turut ditampilkan semula.
Pengumuman itu dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, lapor Harian Metro.
Turut hadir, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.
Semalam, media melaporkan, PKR akan mengumumkan kesemua 17 calonnya yang akan bertanding PRN Johor, hari ini.
Pengumuman itu akan dilakukan secara tiga peringkat dengan calon Johor Selatan akan dilakukan di Hotel Thistle (Johor Bahru) sebelah pagi.
Sementara, bagi Johor Tengah akan diumumkan di Pejabat PKR Rengit pada 6 petang diikuti calon Johor Utara dilakukan di Hotel Pelican pada 9 malam. – Malaysiapost

