BANGUNAN Wisma Negeri di Melaka ditutup seminggu selepas disahkan sebagai kawasan merah susulan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kakitangan pelbagai jabatan.
EXCO Kesihatan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata bangunan itu diarahkan tutup bermula 10 hingga 17 Februari ini berikutan satu kematian direkodkan selain 27 kakitangan disahkan positif.
Katanya, perincian kes kematian dan individu yang positif setakat 11 Februari lalu masih diperincikan dan penularan itu membabitkan lima jabatan yang bekerja dalam bangunan sama.
“Punca kes disebabkan kurang penjagaan prosedur operasi standard (SOP).
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan penutupan kerana risiko tempat kerja telah dinaikkan kepada amaran merah kerana kontak rapat masih bekerja dan ia boleh menyebabkan jangkitan berulang .
“Saringan sepenuhnya atau ‘total reset’ diperlukan disebabkan jangkitan telah meluas dalam bangunan berkenaan,” katanya seperti dilaporkan Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, seramai 15 kes positif daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) manakala lima lagi positif serta satu kematian dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah dan dua kes dari Jabatan Pertanian Melaka.
Jelasnya, lima lagi kes membabitkan tiga kakitangan dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) dan dua dari lagi daripada kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Individu yang meninggal dunia belum ada perincian sama ada individu berisiko atau sudah memenuhi suntikan vaksin.
“Bangunan akan disanitasi sepenuhnya esok dan semua staf yang bekerja di dalam bangunan akan disaring mengikut tahap risiko dan mengikut jabatan masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

