‘Saya ambil sikap untuk tidak mengulas’ – Khairuddin

0
2

AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ berhubung isu pemecatannya sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

Bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu, membuat kemunculan pertama secara langsung dalam Facebooknya malam tadi, selepas dua hari berita pemecatannya dilaporkan. 

Sesi yang bermula kira-kira jam 11 malam itu dipercayai dibuat dari luar negara dengan Mohd Khairuddin kelihatan turut mengenakan jaket tebal.

Dalam video berdurasi 13 minit 52 saat itu, Mohd Khairuddin menjelaskan apa yang berlaku merupakan isu dalaman parti itu. 

Justeru, katanya, ia perlu diselesaikan dengan kaedah parti sekali gus menyerahkan kepada kepemimpinan PAS untuk menguruskan perkara berkenaan.

“Ini kali pertama saya bersiaran secara langsung setelah pelbagai isu berlaku dalam parti dan perjuangan. Ramai yang meminta ulasan termasuk media, namun saya masih mengambil sikap untuk kekal tidak menjawab atau mengulas. 

“Saya serahkan semuanya kepada parti, InsyaAllah. Saya istiqamah dengan perjuangan PAS dan sabar. Belum masanya saya memberi respon terhadap apa yang berlaku,” katanya menerusi video berkenaan.

Mohd Khairuddin berkata, beliau bertekad untuk terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, pendekatan membisu hanya melibatkan isu pemecatannya sahaja, namun suaranya akan terus lantang dalam hal-hal berkaitan Islam dan dasar perjuangan PAS.

“Saya akan terus bercakap secara umum tentang akhlak Islam, dasar perjuangan dan idea yang dipersetujui parti. Sebagai contoh yang selalu saya perjuangkan ialah kesatuan umat,” katanya.

Kelmarin, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan pengguguran Mohd Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama susulan isu-isu disiplin melibatkan pemimpin itu.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin juga dipecat daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS pada 12 Januari lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here