CAAM pantau situasi insiden ular dalam pesawat AirAsia – Ka Siong

0
2

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan terus memantau situasi pengurusan syarikat penerbangan bagi memastikan segala mitigasi risiko terhadap keselamatan dalam penerbangan diuruskan dengan sewajarnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Kementerian Pengangkutan berhubung rapat dengan CAAM mengenai insiden penemuan seekor ular di dalam pesawat yang melibatkan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada Jumaat lalu.

Katanya, CAAM tidak akan berkompromi dalam sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan operasi syarikat penerbangan.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah berhubung rapat dengan CAAM mengenai perkara ini, dan pengawal selia keselamatan serta teknikal telah menguruskan hal ini dengan baik bersama syarikat penerbangan berkenaan mengikut semua prosedur dan peraturan keselamatan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.

Menurut Ka Siong, dalam kejadian itu, pesawat AirAsia berkenaan selamat dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak mengikut prosedur keselamatan yang diperlukan.

Katanya, setiap syarikat penerbangan perlu mematuhi semakan prapenerbangan yang ketat sebagai sebahagian daripada keperluan dan prosedur operasi standard.

Kelmarin, tular video seorang penumpang yang menemui seekor ular dalam pesawat penerbangan domestik syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah.

Sususlan itu, juruterbang bertugas memutuskan untuk membuat pendaratan kecemasan ke Lapangan Terbang Kuching, Sarawak sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk membersihkan semula pesawat tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here