RUU355: PAS tak lagi mendesak kerana bukan pembangkang

0
3

Nilam Oshman

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak setuju dengan desakan Pakatan Harapan (PH) berhubung pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU355.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kini PAS sebahagian parti pemerintah jadi peranan bukan untuk mendesak, tetapi dengan mengemukakan cadangan.

“Namun ia berlaku sebaliknya, pihak kita beri usul yang bersifat pembangkang sedangkan PAS sekarang adalah kerajaan.

“Dulu pembangkang tak apa, kita desak kerajaan tapi sekarang kita kerajaan, kalau kita desak makna kita desak diri sendiri.

“Kalau marah kita marah macam kita marah diri sendiri, maka pendekatan dengan mengemukakan cadangan yang sepatutnya kita buat sebagai kerajaan,” katanya secara langsung di Facebooknya.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata apabila menjadi kerajaan, banyak perkara perlu dilakukan untuk mengukuhkan RUU355, termasuk mesyuarat dan perbentangan dengan mufti-mufti serta raja-raja Melayu.

“Selain itu, kena jumpa dan lalui banyak prosedur dari majlis jawatan kuasa agama Islam peringkat kebangsaan dan Peguam Negara, malah perbincangan dari segi perundangan dan perlembagaan diperlukan.

“Banyaklah kerja. Jadi, ada pihak tak faham, masih ingat PAS di kerusi pembangkang khususnya PH duduk serang, dulu berapi-api dan bersuara lantang tapi sekarang? Memanglah dulu sebab pembangkang,” ujarnya.