Jit Murad meninggal dunia

0
2
Jit Murad

PENULIS, pelakon teater dan filem terkenal, Jit Murad meninggal dunia hari ini pada usia 62 tahun.

Berita pemergian Allahyarham atau nama sebenarnya, Aziz Mirzan, dimuat naik menerusi laman Facebook Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebentar tadi.

“FINAS dengan rasa sedih dan dukacita ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga pelakon, penulis dan penggiat seni dihormati, Allahyarham Jit Murad yang telah meninggal dunia pada hari Sabtu, 12 Februari 2022.

“Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham di kalangan mereka yang soleh dan beriman. Al-Fatihah,” tulis hantara itu hari ini.

Setakat ini, punca sebenar kematian Allahyarham masih belum dikenal pasti.

Allahyarham yang merupakan anak kepada bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor mula bergiat aktif dalam filem, televisyen dan teater pada 1987.

Beliau juga merupakan abang kepada penerbit filem, Na’a Murad.

Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Lumpur memiliki pendidikan dalam bidang Sosiologi (Pengajian Bandar) dan Ijazah Sarjana dalam Seni Sejarah.

Sepanjang kariernya, Allahyarham disegani sebagai seorang penulis, pelakon dan penerbit teater yang berdedikasi dan dinamik.

Beliau turut dikenali sebagai seorang penulis yang prolifik di Asia Tenggara selepas berjaya menghasilkan beberapa naskhah kontemporari yang pernah meraih beberapa anugerah termasuk di Anugerah Boh Cameronian.

Allahyarham pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar dari industri kreatif Malaysia termasuk Datuk Krishen Jit, Datuk Zahim Albakri dan Jo Kukathas.

Beliau pernah membintangi filem, “Selubung”, “Mimpi Moon”, “Talentime” dan 1957: Hati Malaya.

Difahamkan jenazah Allahyarham kini berada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan akan dikebumikan esok (Ahad).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here