‘Booster’ jenis Sinovac mula diberi Isnin ini

0
2
Botol Vaksin AstraZaneca di PWTC.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer atau AstraZeneca (AZ) untuk perlindungan yang terbaik, namun menyediakan pilihan dos penggalak jenis Sinovac bagi yang memerlukannya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata ia kerana masih ada yang meminta pilihan bagi dos penggalak jenis Sinovac.

“Apa pun jenis dos penggalak adalah lebih baik daripada tanpa dos penggalak.

“Walaupun KKM syorkan dos penggalak Pfizer atau AZ untuk memberi tambahan perlindungan yang terbaik, ada yang masih minta pilihan.

“Kami masih kuat mengesyorkan dos penggalak jenis Pfizer atau AZ. Tetapi ia (Sinovac) lebih baik dari tiada langsung (dos penggalak),” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Sementara itu, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan dos penggalak Sinovac akan tersedia di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Luar Tapak (off-site) secara percuma mulai Isnin ini.

“Seperti diumumkan oleh Menteri Kesihatan pada 7 Februari lalu, KKM akan membenarkan penerima Sinovac untuk dos primer mereka bagi mendapatkan vaksin sama sebagai dos penggalak.

“Oleh itu mereka yang layak dan ingin mendapatkan dos penggalak Sinovac boleh menyemak senarai PPV Luar Tapak di laman web ProtectHealth,” katanya.

Menurut ProtectHealth, KKM bagaimanapun masih mengesyorkan dos penggalak jenis Pfizer untuk penerima Sinovac kerana ia menawarkan tahap perlindungan yang lebih tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here