SEBANYAK 134 kes baharu positif Covid-19 di Sabah dilaporkan hari ini, dengan 105 kes dari Kluster Benteng di Lahad Datu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi Kluster Benteng, 90 kes melibatkan warganegara manakala 15 lagi warga asing.
Beliau berkata, lapan kes baharu direkodkan bagi Kluster Bangau-Bangau dan Kluster Laut, manakala dua kes lagi melibatkan Kluster Pulau.
“KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu telah dilaporkan hari ini di Tawau, Sabah melibatkan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun.
“Kes indeks dikesan positif Covid-19 hasil saringan warga emas yang dijalankan di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 September 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, katanya, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi dikesan positif Covid-19 pada 22 September.
Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua kes positif ini melibatkan warganegara Filipina di mana mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.
“Sehingga 23 September jam 12 tengah hari, sejumlah 128 individu telah disaring. Keputusan saringan tiga dikesan positif Covid-19, 17 negatif dan 54 individu masih menunggu keputusan,” katanya. -Malaysiapost

