BEKAS Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memohon semua pihak supaya melakukan siasatan serta menyelidik secara terperinci terlebih dahulu sesuatu dakwaan dan tuduhan sebelum membuat keputusan.
Beliau berkata, setiap tuduhan yang dilontarkan mana-mana pihak tidak bermaksud orang yang dituduh secara automatik dihukum bersalah.
Katanya, perlu ada proses untuk menyelidik dan menyiasat bagi mengetahui sama ada tuduhan itu benar ataupun tidak.
Malah beliau berkata, dalam Islam turut mempraktik cara tersebut dengan mencari bukti terlebih dahulu sebelum menghukum seseorang itu dan dengan itu jangan bertindak secara melulu yang akhirnya menzalimi individu terbabit.
“Setiap pemberitaan mesti diselidik. Jangan melulu membuat kesimpulan daripada perkhabaran.
“Akibatnya kamu menzalimi seseorang pada maruahnya Perlakuan itu dosa besar jangan dianggap kecil. Setiap tuduhan perlukan pembuktian. Jangan jadi zalim menuduh tanpa bukti lalu disebarkan bagi merosakkan maruah dan reputasi.
“Kaedah Islam jelas; Bukti didatangkan oleh orang yang mendakwa. Seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan hantaran tersebut ditujukan kepada pihak mana.
Terdahulu, media melaporkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Mohd Khairuddin telah digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkuatkuasa semalam.
Abdul Hadi berkata, Khairuddin digugurkan kerana masalah disiplin dan pengguguran itu dibuat Jawatankuasa PAS Pusat.
Januari lalu, Khairuddin digugurkan sebagai AJK PAS Pusat selepas dua bulan dilantik. – Malaysiapost

