SEMUA pengusaha dan penjaja jalanan digesa menghentikan penjualan jeruk mangga, makanan dan minuman di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.
Bahagian Siasatan dan penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya dalam kenyataan berkata ia kerana aktiviti tersebut boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya.
Katanya, aktiviti jual beli di tengah-tengah jalan bukan sahaja menganggu aliran trafik, malah membahayakan keselamatan penjaja dan pembeli serta pengguna jalan raya yang lain.
“Penjualan sebegini adalah satu kesalahan mengikut Kaedah 10a (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (ln 166/59) menyatakan tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di mana-mana jalan raya.
“Mana-mana individu terbabit dalam urusan jual beli tersebut boleh dikenakan denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika disabit kesalahan,” menurut kenyataan itu di Facebook.
Sehubungan itu, menurutnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap penjual dan pembeli yang terlibat dalam kegiatan ini.
“Janganlah hanya untuk mendapatkan rezeki, mendatangkan risiko dan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – Malaysiapost

