Guan Eng tanya SPRM status rasuah ahli politik lompat parti

0
2
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di perkarangan pintu 2 Istana Negara selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng mempertikaikan status kes rasuah yang tidak melibatkan tawaran wang terhadap beberapa ahli politik yang masih belum dapat diselesaikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi hantaran Facebook, Guan Eng mempertikaikan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengakui kesukaran membuktikan unsur rasuah melibatkan wang terhadap ahli-ahli politik yang melompat parti.

“Rasuah bukan sekadar melibatkan wang, malah jawatan dan kedudukan. Jika sukar buktikan tawaran wang, bagaimana lima kes berikut yang jelas melibatkan tawaran atau pelantikan jawatan dan kedudukan kerajaan dalam GLC?,” katanya.

Dalam hantaran itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mempersoal status kes melibatkan Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli yang didakwa atas tuduhan rasuah kerana enggan untuk melompat daripada Warisan kepada parti pemerintah, Bersatu.

Malah, Guan Eng juga membangkitkan isu rakaman audio melibatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menawarkan jawatan dan kedudukan politik dalam GLC sebagai pertukaran untuk sokongan politik.

“Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong yang berpaling tadah daripada PKR untuk menyokong Muhyiddin, mengakui bahawa Muhyiddin menjanjikannya beliau jawatan rasmi kerajaan.

“Siasatan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar oleh SPRM menjadi senyap selepas berpaling tadah dan menyokong Muhyiddin.

“Lima Ahli Parlimen PKR telah menolak sogokan atau dikenakan ugutan supaya berpaling tadah dan menyokong Muhyiddin,” dakwanya.

Justeru, Guan Eng menggesa SPRM tampil memberi penjelasan mengapa masih tiada tindakan terhadap lima kes berkenaan.

Semalam, Azam memaklumkan SPRM ada menerima laporan berhubung tawaran wang untuk wakil rakyat lompat parti tetapi ia sukar dibuktikan.

“Saya tidak menafikan SPRM pernah menerima laporan berhubung penawaran wang untuk ahli politik melompat parti tetapi tiada kes yang boleh dibuktikan sama ada wang dibayar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here