25 individu ditahan kes jual sijil vaksin palsu

0
2

SERAMAI 25 individu ditahan kerana disyaki terbabit sembilan kes penjualan sijil vaksin palsu yang dikesan di seluruh negara setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada tiga doktor, tiga jururawat, 11 orang awam, tujuh ejen dan seorang staf klinik.

“Ada sembilan kes yang kita kesan setakat ini dengan kebanyakan siasatan kes berkenaan sudah hampir selesai dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan tuduh.

“Kes lain berkaitan isu ini yang masih dalam siasatan juga akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurutnya, kes terbaru yang dikesan membabitkan sijil vaksin palsu adalah di Kinarut, Sabah, pada minggu lalu.

“Kami menerima laporan daripada seorang staf klinik pada 4 Februari lalu yang melaporkan seorang doktor melakukan aktiviti penjualan sijil vaksin palsu.

“Doktor berusia 37 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Februari lalu,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menerima dua laporan di Selangor berkaitan penipuan penjualan kit ujian Covid-19 membabitkan kerugian RM710,000.

Beliau berkata, sejak penularan wabak Covid-19, terdapat permintaan tinggi untuk kit ujian pengesanan Covid-19 hingga mewujudkan modus operandi baharu berkaitan penipuan penjualan alat berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, dua mangsa yang juga ahli perniagaan mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat yang mendakwa boleh membantu dalam pembelian kit ujian berkenaan dari syarikat pengeluar di China pada Januari lalu.

“Mengikut laporan dibuat, seorang daripada mangsa memaklumkan dia membuat pembayaran sebanyak RM600,000 bagi 100,000 kit ujian yang termasuk dengan kos penghantaran,” katanya.

Menurutnya, selepas pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima kit ujian yang dibeli sebelum membuat semakan terus dengan syarikat pengeluar di China dan mendapati tiada sebarang pesanan diterima pihak pengeluar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk peniaga supaya sentiasa berwaspada dan melakukan semakan sewajarnya sebelum membuat transaksi pembayaran terutama membabitkan jumlah yang banyak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here