KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) perlu segera menubuhkan jawatankuasa khas pakar kesihatan awam bagi mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19.
Veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata jawatankuasa yang melibatkan wakil dari sektor swasta itu penting, kerana lebih 12,000 nyawa terkorban akibat Covid-19 sejak lima bulan lalu di Malaysia.
“Dalam tempoh lima bulan yang lepas, terdapat lebih daripada 12,000 kematian akibat Covid-19 (dilaporkan).
“Walaupun varian Omicron telah menggantikan varian Delta dengan kadar kematian yang lebih rendah, terdapat 1,062 kematian Disember lalu, Januari (498 kematin) dan 80 kematian setakat Februari ini.
“Kerajaan perlu memandang kadar kematian ini sebagai satu perkara yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan setengah juta kematian akibat Covid-19 dicatatkan sejak daripada penemuan varian Omicron.
“WHO mengatakan lebih daripada 130 juta kes dan 500,000 kematian dicatatkan di seluruh dunia sejak varian Omicron diisytiharkan sebagai ‘variant of concern’ pada penghujung November lepas.
“(Menurut WHO) varian ini kemudiannya dengan pantas mengatasi Delta sebagai varian utama Covid di seluruh dunia kerana ia mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi walaupun kelihatan tidak menyebabkan jangkitan yang seteruk Delta,” katanya.
Kit Siang berkata, jumlah kematian terkumpul akibat Covid-19 di Malaysia kini mencecah 32,065 kematian.
Terdahulu, media melaporkan, kes baharu Covid-19 di Malaysia terus meningkat dengan 19,090 kes direkodkan hari ini.
Jumlah itu meningkat 1,956 kes berbanding 17,134 kes direkodkan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,975,422 kes. – Malaysiapost

