AKTIVIS masyarakat Kuan Chee Heng mencabar calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya saling tidak ‘membelasah’ antara satu sama lain, sebaliknya membuktikan mereka adalah pilihan terbaik rakyat.
Beliau yang lebih dikenali sebagai sebagai Uncle Kentang, berkata kebiasaanya calon yang sibuk mencanang perubahan termasuk aktif di media sosial ‘lesap’ selepas pilihan raya selesai.
“Calon-calon di Johor jangan kau belasah lawan mu. Tunjukkan yang kamu mampu beri ambulan dan van jenazah dan wujudkan setesen gerai barang 10 sen di kawasan DUN anda bertanding untuk mempermudahkan (urusan) mereka yang susah.
“Yang buat Tik Tok dan janji sana sini perubahan ‘last last’, muka pun tak nampak lepas pilihan raya. Buat apa dengan calon macam ini?,” katanya menerusi Facebook.
Justeru, Uncle Kentang berkata, pengundi Johor mesti bijak memilih jangan biarkan ‘pisang berbuah dua kali’ serta membuat pilihan tepat pada PRN nanti.
“Orang Johor ramai Jawa dan Bugis. Semua bijak bijak memilih. Jangan termakan ‘kacang’ perubahan, jangan disogok janji.
“Nanti makcik pakcik melopong, mencangkung tepi parit Solok Wan Mor kena gigit nyamuk tunggu ketibaan YB yang hanya akan muncul 5 tahun sekali,” katanya.
Menurut Uncle Kentang, kebiasaannya calon sebelum pilihan raya akan menaburkan ‘janji-janji syurga’ namun hakikat adalah sebaliknya.
“Nanti pergi pejabat DUN, muka pembantu ADUN lebih bengis dari Singa kelaparan. Janji-janji akan bantu macam janji syurga, tapi yang dapat lebih buruk dari neraka.
“Jalan kampung masih berhabuk, bila makcik sakit ambulan pun tiada dan bila mati pula, sana-sini cari van jenazah,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor.
Sementara hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac. – Malaysiapost

