GABUNGAN Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuan Sunni (GIPTIS) hari ini menghantar surat kepada institusi agama Islam di Kedah menggesa agar mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau.
Wakilnya, Ahmad Husam Baderudin, berkata penekanan mereka adalah berhubung pelaksanaan SOP bagi mereka yang tidak mendapatkan suntikan Covid-19.
“Kami dapati hampir ratusan orang tidak hadir ke masjid kerana tidak dibenarkan masuk. Dua tahun mereka tidak bersembahyang di masjid.
“Jadi kami minta institusi agama mengkaji semula sama ada menyediakan satu ruangan khas di masjid, atau sediakan satu dewan khusus menempatkan mereka yang tidak mengambil vaksin untuk solat Jumaat,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.
Mengulas berkenaan pengambilan dos penggalak bagi penerima vaksin Sinovac, Ahmad Husam memberitahu terdapat kekeliruan daripada jemaah berkaitan dengan status di aplikasi MySejahtera.
“Ada jemaah bimbang adakah mereka yang terima vaksin Sinovac dah tidak mengambil dos penggalak juga tidak dibenarkan solat berjemaah di masjid jika status di MySejahtera bertukar putih.
“Harap Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin boleh jawab pertanyaan yang timbul selepas sidang media baru-baru ini,” katanya.
Semua individu berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac ini.
Menurut Khairy, jika gagal berbuat demikian, mereka akan dikira berstatus tidak lengkap vaksinasi dan akan tertera di dalam aplikasi MySejahtera.
Katanya, ia membabitkan semua penerima vaksin warga emas tidak kira jenis vaksin pertama dan kedua serta penerima vaksin Sinovac dewasa. – Malaysiapost

