Umno dijangka guna helah calon muka baru – Wan Saiful

0
2

UMNO dijangka akan meletakkan muka-muka baru sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai usaha membuang imej ‘kluster mahkamah’, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Menurutnya, helah berkenaan untuk menunjukkan kononnya Umno ada imej baru.

“Umno nampaknya tercari-cari helah untuk membuang imej kluster mahkamah. Saya jangka salah satu strategi Umno untuk membuang imej kluster mahkamah ialah dengan meletakkan muka-muka baru sebagai calon.

“Mereka akan kata bahawa dengan muka-muka baru itu menunjukkan kononnya Umno ada imej baru.

“Mereka akan cuba sembunyikan fakta bahawa untuk menjadi calon Umno, semuanya terpaksa ‘sujud. kepada Zahid (Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kerana hanya Zahid seorang saja ada kuasa tandatangan watikah calon,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mendakwa, walaupun muka baru, semua calon Umno tetap wajib menjadi ‘budak-budak’ Ahmad Zahid kerana jika tidak sokong kluster mahkamah, mustahil akan diberi watikah pelantikan sebagai calon.

“Dalam kata lain, kluster mahkamah Umno akan gunakan sepenuhnya kuasa watikah itu untuk pastikan semua calon di Johor adalah orang Zahid yang menyokong kluster mahkamah.

“Tidak mungkin Zahid akan calonkan kluster “Umno soleh” yang mungkin akan melawan dia nanti,” katanya.

Wan Saiful turut mendakwa Umno sedang ‘diperkudakan’ sepenuhnya oleh Ahmad Zahid dan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak untuk kepentingan peribadi mereka.

“Kalau Umno betul-betul nak berubah, bukan buang imej, tapi buang kluster mahkamah tu!” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here