YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas atlet negara Darus Abdullah, yang meninggal dunia semalam.
Allahyarham Darus adalah bekas atlet angkat berat negara yang berasal dari Selangor dan pernah mewakili negara pada Kejohanan Sukan SEA pada tahun 1989 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham selain berharap seluruh keluarga sabar dan tabah menghadapi dugaan.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini. – Malaysiapost

