SEPANJANG tempoh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu sebelum ini, Malaysia adalah negara paling teruk dalam ASEAN dan antara paling corot dalam menangani pandemik Covid-19, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, ia bukan seperti yang dinyatakan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan antara kejayaan luar biasa kerajaan PN ialah mendapat pengiktirafan sebagai kerajaan paling bagus dalam dunia bagi mengawal Covid-19.
Menurutnya, data dan graf kes baharu serta kematian Covid-19 bagi Malaysia berbanding negara-negara ASEAN dan juga purata dunia bagi tempoh pentadbiran kerajaan PN yang tumbang pada Ogos 2021 menunjukkan sebaliknya.
“Dalam tempoh itu, Malaysia adalah negara paling teruk dalam ASEAN dan antara paling corot di dunia.
“Kita juara dunia Covid-19 masa itu. Kita juga laksanakan lockdown separuh masak dengan tempoh antara paling panjang dalam dunia sehingga kita tidak dibenarkan rentas negeri dan balik kampung bagi dua tahun berturut.
“Kita asyik ditangga tercorot indeks-indeks Covid (Bloomberg, Nikkei, The Economist) masa itu. Malaysia juga tercorot dalam indeks kemampuan untuk kembali normal lepas Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Azmin yang meminta rakyat Johor khususnya pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang melihat rekod pencapaian pentadbiran kerajaan PN sewaktu negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
Najib berkata, Malaysia juga asalah satu-satunya negara yang melaksana darurat untuk mengantung Parlimen begitu lama sehingga Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong bertitah agar darurat tidak diteruskan.
“Kita satu-satunya negara di ASEAN yang diturunkan penarafan sehingga Malaysia akhirnya kehilangan penarafan gred A kita sejak berpuluh tahun lalu.
“Min (Azmin) dah lupa bahawa zaman kerajaan PN adalah zaman “move, tutup. move tutup”, zaman ramai bunuh diri atau angkat bendera putih dan zaman kerajaan perlu rayu kepada rakyat derma kontena untuk simpan mayat,” katanya. – Malaysiapost

