PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengenal pasti dua calon jurulatih tempatan untuk dipilih menggalas jawatan penolong Ketua Jurulatih Harimau Malaya.
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata dua calon itu telah disenarai pendek Pengarah Teknikal, Scott O’Donell bersama ahli jawatankuasa minggu lalu.
“Saya telah serahkan kepada pengarah teknikal dan panel, mereka telah temuramah minggu lepas, lebih daripada enam orang (calon) yang saya ingat berminat mengikut kriteria.
“Dia (Scott O’Donell) dah tinggalkan senarai nama untuk dicadangkan kepada ketua jurulatih baharu, Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk membuat penilaian sendiri apabila di sampai nanti.
“Jadi kita tunggulah bila Kim sampai nanti dan dengan Scott O’Donell sekali lagi bersama Kim akan buat temu ramah serta membuat keputusan, memang dia (Scott O’Donell ) dah terangkan kepada saya dan ini adalah idea yang bijak.
“Dia mahu tinggalkan satu atau dua nama dan biarkan Kim yang tentukan sendiri,” katanya memetik laporan Cakap Sukan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat AirBus 330-300 Harimau Malaya di Sepang, hari ini.
Hamidin menegaskan, dua calon yang disenarai pendek itu pastinya memiliki Pro Lesen A selain memiliki pengalaman yang luas dalam bidang bola sepak.
“Saya rasa Scott O’Donell ini berpengalaman dari segi teknikal, jadi nama-nama ini yang telah disenarai pendek ini semuanya ada Pro Lesen A, dekat situ penanda aras kita, sama ada kategori besar atau tidak tapi sememangnya dia memiliki pengalaman.
“Scott O’Donell ini lain sikit dia ada bagi sebab kenapa memilih individu tersebut,” katanya.
Susulan perlantikan Kim Pan Gon selaku ketua jurulatih bolasepak negara, FAM turut memaklumkan seorang jurulatih bola sepak tempatan yang mempunyai ‘nama besar’ antara individu berminat untuk menjadi pembantunya.
Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, jurulatih berpengalaman tersebut antara 10 calon sedang diteliti O’Donell.
Antara beberapa nama yang dikaitkan dengan jawatan tersebut adalah jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah dan bekas pengendali Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan.
Manakala, dua calon lain yang juga hangat dikaitkan iaitu penolong Ketua Jurulatih Selangor FC Mohd Nidzam Jamil dan Ketua Jurulatih Terengganu FC Mohd Nafuzi Mohd Zain namun menarik diri untuk dicalonkan kerana menghormati kontrak bersama kelab masing-masing. – Malaysiapost

