Covid-19: Sabah catat satu lagi kluster institusi pendidikan

0
2
Muhammad Farid Nahur Yusof, 12 (kiri) sedang menjual kuih-muih dan nasi lemak kepada penduduk-penduduk flat Sri Perak memandangkan sekolah tutup pada PKPB di Lembah Klang.

PERTAMBAHAN satu lagi kluster baharu Covid-19 berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah, melibatkan pelajar asrama Maktab Sabah, Sembulan, di Kota Kinabalu.

Menurut jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, Kluster Jalan Pintas Sembulan itu sudah menjangkiti 18 pelajar asrama sekolah menengah berkenaan, setakat ini.

Menurutnya, kluster itu tercetus selepas kes indeks membabitkan seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun, dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 3 Februari lalu.

“Pelajar itu mula bergejala pada 3 Februari 2022 sebelum menjalani ujian RT-PCR pada hari sama dan didapati positif.

“Kes indeks itu telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya dalam satu kenyataan.

Masidi berkata, seramai 79 kontak rapat turut disaring dengan 17 pelajar lagi didapati positif, menjadikan jumlah kumulatif kes dalam Kluster Jalan Pintas Sembulan sudah mencecah 18 orang.

Namun demikian, katanya, semua kes positif terbabit berada dalam kategori bergejala ringan, iaitu Kategori 2, dan telah dihantar ke pusat kuarantin dan menerima rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Sabah merekodkan sebanyak 1,600 jangkitan baharu Covid-19, semalam, meningkat berbanding 1,285 kes kelmarin.

Bagaimanapun, tiada korban baharu Covid-19 dilaporkan, manakala 418 pesakit dilaporkan sembuh.

Sementara itu, Masidi berkata, 24 pesakit memerlukan penjagaan kritikal, manakala 29 pesakit yang belum lengkap vaksinasi berada dalam Kategori 4 dan Kategori 5 jangkitan Covid-19.

Hampir semua daerah di Sabah mencatat peningkatan kes Covid-19, semalam, yang menyaksikan Kota Kinabalu mendahului dengan 371 jangkitan baharu, diikuti Sandakan (322), Tuaran (150) dan Penampang (138). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here